Selesai Jalani Hukuman, Bekas Perogol Bersiri Pulang Ke Malaysia Hari Ini
SEPANG - Bekas perogol bersiri
warganegara Malaysia, S. Selva Kumar yang baru dibebaskan selepas menjalani
hukuman penjara 24 tahun di Toronto, Kanada, tiba di tanah air hari ini.
Difahamkan,
dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada
pukul 7.30 pagi dengan menaiki pesawat Qatar Airways dari Doha.
Sebaik
tiba, Selva Kumar, 56, kemudian difahamkan dibawa ke Pusat Operasi Imigresen
KLIA untuk direkodkan keterangan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan
Imigresen.
Bagaimanapun,
usaha lebih 20 pengamal media yang telah menunggu sejak pukul 7 pagi untuk
merakamkan ketibaan Selva Kumar gagal apabila dia dipercayai mengelak daripada
media.
Pihak
media yang menunggu di balai ketibaan antarabangsa dimaklumkan oleh polis
bantuan KLIA bahawa Selva Kumar keluar menggunakan laluan balai ketibaan
domestik KLIA pada pukul 9.50 pagi.
Ketua
Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat ketika dihubungi mengesahkan
kepulangan Selva Kumar namun beliau enggan mengulas lanjut.
Selva
Kumar, yang berasal dari Pulau Pinang, dihukum penjara selama 24 tahun pada
1992 setelah didapati bersalah termasuk bagi 19 tuduhan serangan seksual.
Tempoh tahanan penjaranya tamat pada 29 Januari lepas.
Laporan
media asing memetik pihak berkuasa Penjara Kanada sebagai berkata terdapat
risiko tinggi yang Selva Kumar akan mengulangi perbuatannya dan mungkin
membunuh.
No comments