TERKINI: Samsung ‘Memanggil’ Semula Mesin Basuhnya Selepas Dilapor Berisiko Meletup!
WASHINGTON DC – Samsung yang baru-baru ini menarik balik telefon
pintar Note 7 di seluruh dunia, kini akan tarik balik pula tiga juta mesin
basuhnya dari pasaran Amerika Syarikat (AS).
Ia susulan puluhan
laporan kecederaan akibat letupan mesin basuh muatan pintu atas keluaran
gergasi elektronik Korea Selatan itu yang direkodkan di seluruh AS sejak awal
tahun ini, lapor agensi berita antarabangsa Reuters.
Bahagian penutup
mesin basuh itu boleh secara mendadak terkeluar sendiri daripada mesin itu
ketika digunakan, dan ia menimbulkan risiko kepada keselamatan nyawa, menurut
Suruhanjaya Keselamatan Produk Pengguna AS.
Syarikat teknologi
tinggi Korea Selatan itu sudah menerima sembilan laporan kecederaan serius,
termasuk rahang patah, bahu cedera dan kes kemalangan akibat pengguna terjatuh
disebabkan letupan daripada mesin tersebut.
Malah pada masa sama,
pihak Samsung sudah menerima sejumlah 733 laporan tentang getaran berlebihan
pada pelbagai model mesin basuh keluarannya atau bahagian pintunya terkeluar
daripada mesin cuci pakaian tersebut.
Penarikan
balik itu melibatkan sebanyak 34 model mesin basuh muatan atas yang dihasilkan
Samsung antara Mac 2011 hingga November 2016 dan berharga daripada AS$450
(RM1,895) sehingga AS$1,500 (RM6,317) seunit.
Bahagian pintu pada mesin basuh Samsung
didapati terjejas malah boleh terpisah apabila kitaran basuh kelajuan tinggi
digunakan untuk mencuci cadar, atau barangan kalis air atau berat, menurut
jurucakap syarikat berkenaan.
Selain AS, Samsung sebelum itu turut
mengumumkan penarikan balik ratusan ribu unit mesin basuh keluarannya yang
pernah dijual di pasaran Australia dan New Zealand serta melibatkan hampir 20
model berbeza.
Firma terkenal tersebut sebenarnya
sudah pun disaman oleh sesetengah pelanggan di AS, yang mendakwa mesin basuh
mereka pernah secara tiba-tiba didapati meletup meskipun ketika digunakan
secara kaedah cucian biasa.
Samsung,
pengeluar telefon pintar terbesar di dunia, terdahulu menanggung malu apabila
terpaksa menarik balik jutaan telefon canggih Galaxy Note 7 sejak bulan lalu
setelah gagal menyelesaikan isu-isu keselamatannya.
Ia malah mengumumkan penarikan semula
2.5 juta unit gajet telekomunikasi itu pada awal September ekoran pelbagai laporan
kontroversi tentang telefon bimbit itu terbakar akibat bateri yang menjadi
panas tanpa sebab.
Puluhan kes kebakaran Galaxy Note 7
ketika dicas termasuk dalam pesawat menyebabkan banyak syarikat penerbangan di
serata dunia melarang penumpang membawa masuk telefon pintar tersebut ke dalam
kapal terbang.
Situasi
tidak dijangka itu mengakibatkan produk saingan rapatnya, iPhone 7 keluaran
firma Apple di AS yang secara kebetulan dilancarkan serentak di pasaran menjadi
pilihan ramai pelanggan.
Sumber: Agensi/Mynewshub.cc/HAA
Anda mempunyai sebarang info tambahan untuk dikongsikan? Sila nyatakan di ruangan Komentar di bawah.
Langgani ‘Newsletter’ kami untuk mendapatkan info dan berita terkini secara terus ke e-mel anda!
No comments