NUR Alert: PDRM, Facebook Umum Kerjasama Strategik Viralkan Kes Kanak-Kanak Hilang
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengumumkan kerjasama dengan
Facebook bagi menghantar amaran awal membabitkan kes kehilangan kanak-kanak di
negara ini.
Sistem tersebut, dikenali sebagai National Urgent Response Alert atau
NUR Alert akan dihantar kepada orang ramai melalui laman sosial terbabit.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sistem ini penting
untuk memastikan kanak-kanak yang hilang dapat ditemui secepat mungkin.
"Menerusi 19 juta pengguna berdaftar Facebook di Malaysia, maklumat
dapat disalurkan dengan cepat dan cara ini lebih efisyen untuk menyebar
maklumat bagi mengesan kanak-kanak hilang," katanya pada sidang media
selepas majlis pelancaran sistem itu, di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan
Pengarah Amanah dan Keselamatan Facebook, Emily Vacher.
Kata Emily, PDRM merupakan agensi kelapan di dunia dan pertama di Asia
untuk bekerjasama dengan Facebook dalam mengintegrasikan sistem ini.
Sistem NUR Alert dilancarkan pada 2007 di bawah Kementerian Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat berikutan penculikan Nurin Jazlin
Jazimin.
PDRM bekerjasama dengan 35 ahli lain dalam sistem NUR Alert yang terdiri
daripada pelbagai kementerian dan pertubuhan bukan kerajaan untuk mengumpul
maklumat dan mencari kanak-kanak hilang di bawah sistem berkenaan.
Sumber: Astro Awani
Anda mempunyai sebarang info tambahan untuk dikongsikan? Sila nyatakan di ruangan Komentar di bawah.
Langgani ‘Newsletter’ kami untuk mendapatkan info dan berita terkini secara terus ke e-mel anda!
No comments