Restoran McD Pertama Di Perak Bakal Ditutup Setelah 30 Tahun Operasi
IPOH – Restoran francais terkemuka
McDonald’s yang pertama dan tertua di Perak akan ditutup selepas 30 tahun
beroperasi.
Mula dibuka sejak lewat 1980-an, restoran itu yang terletak di Jalan
Mustapha Al-Bakry akan ditutup sepenuhnya pada 30 November ini.
Semasa The Star melakukan tinjauan, seorang pekerja
yang enggan dikenali berkata, semua staf sudah dimaklumkan tentang penutupan
itu.
“Satu mesyuarat akan diadakan bagi membincangkan hal tersebut tetapi
kami tidak mengetahui punca penutupan restoran itu.
“Kami hanya dimaklumkan bahawa semua staf akan dipindahkan ke cawangan
lain,” jelasnya.
Sementara itu, seorang suri rumah, Low Yin Fong, 30, menyuarakan
kesedihan apabila mendengar berita tersebut.
“Masa zaman sekolah dahulu, tempat ini merupakan salah satu tempat
kegemaran untuk kami bertemu dengan rakan-rakan lain.
“Semasa kecil, Arwah pakcik saya selalu membawa saya dan sepupu ke sini
untuk menikmati sarapan,” ujarnya.
Selain itu, Yin Fong berkata, restoran berkenaan sangat unik kerana ia
terletak di bangunan yang mempunya reka bentuk era penjajahan.
“Tidak semua cawangan McDonald’s mempunyai reka bentuk sebegini.
“Saya akan singgah dan menikmati makanan di sana buat kali terakhir,” jelasnya.
Bagi seorang peniaga yang dikenali sebagai S.K. Lim, 46, berkata, tidak
banyak cawangan restoran makanan segera di Ipoh ketika zaman mudanya.
“Ketika itu, jika dapat makan di McDonald’s dianggap sebagai mewah.
“Sebulan sekali, saya akan bawa keluarga saya makan di sana ketika anak
saya masih kecil.
“Kedua-dua anak saya suka pergi ke sana. Mereka sangat seronok kerana
dapat bermain di ruang permainan kanak-kanak di tingkat satu.
“Sudah lama saya tidak menjejakkan kaki ke sana. Sekarang
McDonald’s boleh didapati di mana-mana sahaja,” tambahnya.
Anda mempunyai sebarang info tambahan untuk dikongsikan? Sila nyatakan di ruangan Komentar di bawah.
Langgani ‘Newsletter’ kami untuk mendapatkan info dan berita terkini secara terus ke e-mel anda!
No comments