Kontroversi Burger Babi 'P Ramly': KPDNKK Akan Ambil Tindakan
PENGUSAHA sebuah restoran yang
dikatakan bertanggungjawab menggunakan nama P. Ramly terhadap burger daging
babi dijual premis tersebut mungkin akan dikenakan tindakan.
Perkara tersebut boleh diambil sekiranya pemilik restoran berkenaan
didapati melanggar akta yang menyebabkan kekeliruan dari segi hebahan maklumat
kepada pengguna khasnya umat Islam.
Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan dua
jabatan agama negeri dilapor sedang menyiasat cawangan restoran berkenaan
yang difahamkan berada di Lembah Klang, Melaka dan Negeri Sembilan.
“Penguat kuasa kita telah berjumpa dengan pengusaha terbabit dan
membincangkan perkara ini kelmarin.
“Kita akan ambil tindakan sepatutnya jika kita pasti mereka buat
kesalahan mengikut peruntukan sedia ada,” kata Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipetik Sinar
Harian Online.
Siasatan dibuat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Hal
Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) untuk rangkaian restoran itu di
negeri masing-masing.
Kedua-dua jabatan itu difahamkan telah menyerahkan kertas
siasatan kepada KPDNKK mengikut Akta Perihal Dagangan 2012 untuk tindakan
lanjut.
“Hasil pemeriksaan dengan pegawai KPDNKK di premis restoran itu di Kota
Damansara, JAIS menyita satu banting, sekeping menu makanan, resit jualan P.
Ramly burger untuk siasatan,” kata seorang pegawai JAIS yang dipetik MalaysiaKini.
Difahamkan, menu baharu itu diperkenalkan sempena sambutan Hari Merdeka
dengan harga RM9.90 satu set.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan orang ramai sebelum ini
mempertikaikan nama menu itu yang didakwa mengelirukan dengan jenama burger
sebuah syarikat Bumiputera, Ramly Burger yang berstatus halal.
Selain itu, penggunaan namanya juga seakan-akan mirip nama legenda
seniman agung negara, Tan Sri P. Ramlee sekali gus boleh dianggap mahu menghina
allahyarham.
Berita Harian sebelum ini
melaporkan seorang pekerja kedai itu memberitahu wartawannya bahawa huruf “P”
pada perkataan ‘P. Ramly’ merujuk kepada ‘pork’ (babi).
Sementara itu, pemilik restoran tersebut, Ninja Joe melalui Facebooknya
menyatakan, mereka akan terus jual burger tersebut dan hanya akan menukar nama
lain.
Menurutnya, perkataan Ramly untuk burger daging babi itu adalah penghormatan kepada jenama Ramly sebagai pengeluar burger ternama di negara ini, tiada kaitan dengan pelakon P Ramlee dan ia satu kebetulan.
Sumber: MYNEWSHUB.CC
Anda mempunyai sebarang info tambahan untuk dikongsikan? Sila nyatakan di ruangan Komentar di bawah.
Langgani ‘Newsletter’ kami untuk mendapatkan info dan berita terkini secara terus ke e-mel anda!
No comments