Header Ads

Fenomena 'Supermoon': Kenapa Anda Perlu Menyaksikannya?



KUALA LUMPUR, 13 Nov - Orang ramai di Malaysia bakal menyaksikan fenomena Supermoon luar biasa esok bermula pada jam 7.24 malam.

Fenomena ‘Supermoon’ pernah berlaku pada 6 Mei 2012, 23 Jun 2013, 10 Ogos 2014 dan 28 September 2015, namun apa yang unik kali ini adalah jarak di antara Bumi dan Bulan adalah paling dekat (356.509 km), menjadikannya fenomena 'Supermoon' terbesar sejak tahun 1948.

Menurut Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), fasa penuh atau purnama akan berlaku pada jam 9.54 malam esok.

"Fenomena 'Supermoon' adalah satu fenomena alam di mana Bulan akan berada di kedudukan paling hampir dengan Bumi (perigee) mulai jam 07.24 malam, dan seterusnya berada pada fasa penuh atau purnama pada jam 09.54 malam."




Kenyataan itu juga menyebut keadaan ini berlaku kerana Bulan mempunyai orbit yang sedikit bujur bukan berbentuk bulat sempurna, dan ini menyebabkan jaraknya dengan Bumi sentiasa berubah-ubah.

Fenomena ini boleh dilihat pada malam esok, (14 November 2016). Keadaan Bulan di kedudukan perigee ketika fasa purnama ini akan menyebabkan Bulan kelihatan seolah-olah lebih besar dan lebih cerah dari keadaan biasa (14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih cerah berbanding fenomena Bulan penuh biasa).

Selain itu, antara kesan jarak bulan yang dekat ialah perbezaan pasang dan surut air laut agak tinggi berbanding kebiasaan, katanya.

Tahun ini, jarak paling jauh antara bulan dan bumi ialah pada 7 Julai, iaitu fasa bulan baharu dengan jarak 406,491 kilometer.

Jadi, jangan terlepas untuk menyaksikan fenomena alam yang unik ini. Anda mungkin perlu menunggu sehingga tahun 2034 sekiranya terlepas!


Sumber:         Angkasa, Bernama


Anda mempunyai sebarang info tambahan untuk dikongsikan? Sila nyatakan di ruangan Komentar di bawah.

Langgani ‘Newsletter’ kami untuk mendapatkan info dan berita terkini secara terus ke e-mel anda!


No comments

Powered by Blogger.