Rentetan Kes Songlap RM3.3B Di Sabah: 19 Jurutera Daerah Pula Ditahan SPRM
KOTA KINABALU: Ketika kes seleweng
dana persekutuan RM3.3 bilion di Jabatan Air Sabah (JAS) terdedah, ada
yang menduga ini kes ‘ kenduri sakan’ yakni ramai yang terlibat songlap wang
itu.
Logiknya tidak mungkin hanya pengarah dan timbalan pengarah JAS yang telah ditahan reman boleh tutup aktiviti mereka dan ‘curi’ wang dengan mudah puluhan juta selama ini tanpa penglibatan ramai pegawai bawahannya.
Andaian itu terbukti apabila 19 jurutera daerah JAS berjaya ditahan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai ada kaitan
dengan kes songlap duit yang terbesar dalam sejarah agensi berkenaan.
Sebanyak RM2.4 juta wang tunai turut dirampas dari kalangan jurutera
daerah jabatan yang ditahan itu. Mereka dicekup di 27 lokasi yang
berasingan sekitar Sabah dalam operasi dijalankan SPRM sepanjang Rabu.
Setakat ini belum lagi dapat dipastikan apakah ada gejala ‘gotong
royong’ songlap wang antara orang atas dengan orang bawah di jabatan tersebut
selama ini sebelum skandal itu terbongkar bermula pada awal bulan ini.
Namun difahamkan ‘korek punya korek’ dipercayai jurutera daerah terbabit
tergamak mengutip sogokan antara 27 hingga 30 peratus daripada keseluruhan
nilai kontrak sesetengah tender projek prasarana yang ditawarkan.
Penahanan secara besar-besaran ramai jurutera jabatan negeri berkenaan
telah disahkan sendiri oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk
Azam Baki dan disiarkan semua media tempatan hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan memberi butiran tetapi berkata siasatan itu
melibatkan dokumen yang banyak dan ia memerlukan masa sebelum SPRM dapat
mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Dalam kes seleweng yang menggemparkan itu, SPRM sebelum ini sudah
merampas wang tunai, barangan kemas, geran tanah, kereta mewah dan hartanah
bernilai lebih RM170 juta dari pengarah dan timbalan pengarah sahaja.
Apa yang mengejutkan ramai pihak apabila visual wang tunai
bertimbun-timbun disorok begitu sahaja dalam laci di pejabat dan di rumah
suspek terbabit menjadi viral menerusi media sosial.
Sumber: Agensi/Mynewshub.cc/HAA
Anda mempunyai sebarang info tambahan untuk dikongsikan? Sila nyatakan di ruangan Komentar di bawah.
Langgani ‘Newsletter’ kami untuk mendapatkan info dan berita terkini secara terus ke e-mel anda!
No comments